Saturday, October 23, 2010

Latihan Rumusan - Bahasa Melayu 2 SPM

Petikan ini merupakan soalan percubaan SPM negeri Melaka
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha menangani kenaikan harga barang dan kesan-kesan kenaikan harga barang kepada pengguna. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Setiap kali berlaku kenaikan harga barang, pelbagai alasan dikemukakan oleh para peniaga bagi mewajarkan kenaikan tersebut termasuk peningkatan kos pengangkutan. Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan, tetapi perkara tersebut tetap berlaku. Mahu tidak mahu, penggunalah yang terpaksa memikul segala beban kenaikan ini. Oleh itu, kerajaan mestilah ada mekanisme bagi membendung kenaikan harga barangan, di samping pengguna sendiri perlu menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk menangani permasalahan ini.
Pihak kerajaan sentiasa cakna terhadap kebajikan dan masalah yang dihadapi oleh para pengguna. Sehubungan dengan itu, KPDNHEP akan melaksanakan Program Pengguna Bijak (PPB) di 191 kawasan Parlimen seluruh negara. Penubuhan PPB sebagai menyahut desakan orang ramai yang gelisah terhadap kenaikan harga barang keperluan yang melampau di pasaran. Gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya para pengguna mengawal dan mengubah tabiat berbelanja. Berbelanja berdasarkan keperluan, bukan mengikut perasaan. Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal pula menyatakan bahawa langkah memboikot peniaga yang menaikkan harga barang boleh dilakukan jika tindakan itu dapat memaksa golongan tersebut menurunkan harga barangan. Mereka boleh bertindak dalam kumpulan yang besar untuk mempengaruhi pasaran selain mendisiplinkan peniaga. Pengguna juga boleh melakukan pemantauan sendiri harga barangan dan digalakkan memilih premis yang menjual dengan harga berpatutan.
Sebenarnya harga barang di pasaran bukan hanya ditentukan oleh peniaga semata-mata. Banyak faktor lain yang mendorong penentuan harga sesuatu barangan, termasuk permintaan yang tinggi, bekalan berkurangan, dan persaingan antara peniaga. Memang kebanyakan pengguna sedar mereka mempunyai hak, dan kuasa sebagai pengguna, serta mampu menunjukkan kuasa jika mereka mahu. Kini, sudah sampai masanya pengguna lebih serius mengamalkan perbelanjaan berhemah. Dengan berbuat demikian, mereka dapat menghadapi cabaran dan masalah kewangan dengan lebih baik. Pengguna juga perlu mendisiplinkan diri dengan pengurusan kewangan yang bijak. Sehubungan dengan itu, pengguna perlu mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan dari segi kualiti sebelum membuat penentuan untuk membeli barangan. Sikap peniaga yang tidak beretika perlu diberi pengajaran. Peniaga yang berkeras tidak mahu menurunkan harga barangan keperluan pengguna dianggap sebagai menyusahkan rakyat.
Secara tuntas, peniaga dan pengguna saling memerlukan. Masing-masing ada hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Namun, tekanan kenaikan barang secara berterusan yang dihadapi kini sememangnya sesuatu yang memeritkan terutamanya para pengguna di negara kita.

Langkah-langkah yang perlu diikuti oleh pelajar;
  1. Kenal pasti kata kunci dalam soalan untuk menulis isi pendahuluan - 'usaha-usaha' dan cuba cari perkataan lain yang membawa maksud yang sama dengan 'usaha-usaha'. Kita mungkin boleh menggunakan perkataan 'langkah-langkah'
  2. Jadi, isi pendahuluan sepatutnya ditulis begini iaitu, Petikan membincangkan langkah-langkah menangani kenaikan harga barang yang membebankan pengguna.
  3. Frasa 'yang membebankan pengguna' diambil daripada petikan (penggunalah yang terpaksa memikul segala beban kenaikan ini) untuk memantapkan penulisan pendahuluan.
............bersambung

No comments:

Post a Comment